

KUCHING: Tiga lelaki dewasa terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jejambat Batu 7, Jalan Penrissen, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.45 petang.
“Setibanya jentera bomba di lokasi pada 5.49 petang, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah Honda dan sebuah Perodua Axia dengan tiga mangsa lelaki dewasa.
Komander Operasi, PBK I Mohd Norarbi Jamain berkata seorang mangsa dari kenderaan Honda berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan pengusung walaupun mangsa tidak tersepit di dalam kenderaan.
Menurut beliau, dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Axia telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko tambahan sebelum operasi ditamatkan.
Punca kemalangan serta keadaan mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Oleh Adele Rissa