


KUCHING: Polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan dalam tiga serbuan berasingan serta merampas dadah bernilai kira-kira RM4,404 di sekitar bandar raya ini, hasil risikan berterusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan pertama dilakukan pada 5 Januari kira-kira 3.25 petang di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tabuan.
Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama 5.15 gram dadah disyaki syabu bernilai RM566. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod jenayah lampau menunjukkan suspek tiada rekod.
Menurutnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini direman tiga hari bermula 7 hingga 9 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan kedua pada hari sama kira-kira 3.30 petang, polis menahan seorang lelaki 36 tahun di kawasan parkir sebuah hotel di Jalan Tabuan. Hasil pemeriksaan menemukan 5.83 gram syabu bernilai RM638.
Ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine dan suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan suspek direman tiga hari dari 7 hingga 9 Januari 2026.
Serbuan ketiga pula dijalankan pada 6 Januari kira-kira 12.40 tengah malam di kawasan parkir hadapan sebuah kafe di Jalan Tun Jugah, melibatkan penahanan seorang lelaki 24 tahun.
Polis merampas 248.10 gram serbuk campuran dadah disyaki MDMA bernilai RM3,200. Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dan semakan rekod menunjukkan tiada rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan suspek direman enam hari bermula 7 hingga 12 Januari 2026.
ACP Alexson menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui Hotline JSJN 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak 017-592 9211 bagi bersama-sama membanteras jenayah dadah di Kuching.
Oleh Shikin Mahmud