
LUBOK ANTU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan awal 20-an hingga 30-an yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, semalam.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu hari ini, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pihak polis turut menasihati golongan remaja serta masyarakat agar menjauhi penyalahgunaan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak IPD Lubok Antu bagi membolehkan tindakan segera diambil demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” jelas kenyataan itu.
Oleh Adi Safarman