

MATU: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro, semalam.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sejak awal pagi dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Igan.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia antara 34 hingga 48 tahun itu didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan.

“Dalam operasi itu, pihak polis turut merampas bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1.09 gram.
“Polis juga telah menyerbu sebuah pondok di kawasan semak yang dipercayai digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti penjualan dadah di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.
Dalam operasi bersepadu itu, katanya lagi, pihak polis turut mengeluarkan beberapa saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan semasa rondaan dan sekatan jalan raya dijalankan.
Oleh Akun Giman