BAU: Tiga lelaki ditahan selepas disahkan positif saringan air kencing dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di beberapa lokasi sekitar daerah itu, baru-baru ini.
Operasi yang bermula semalam hingga hari ini itu dijalankan di sekitar pekan Bau, Jambusan, Siniawan serta Sekatan Jalan Raya (SJR) di Simpang Suba Buan, Jalan Bau-Serikin.

Menurut kenyataan media IPD Bau, seramai 80 individu dan 63 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Katanya, tiga lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif saringan air kencing.
Selain itu, sebanyak tiga saman turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.
IPD Bau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan pihak polis dalam meningkatkan kawalan keselamatan, mencegah jenayah serta memastikan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pihak polis turut menegaskan komitmen untuk mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan yang boleh mengancam keselamatan awam.
Oleh Afiq Sallehi




