KUCHING, 4 Oktober: Tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian kabel di tepi jalan Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis dari D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sekitar 11.20 pagi, 2 Oktober lalu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira10.20 pagi pada hari sama apabila suspek dipercayai memotong kabel menggunakan pemotong sebelum mengheretnya menggunakan sebuah motosikal ke sebuah rumah di kawasan Kampung Pulo Hulu, Kuching.



“Suspek kemudiannya memotong kabel tersebut menjadi keratan-keratan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau
“Selain itu, saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Alexson turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Penolong Pegawai Penyiasat Sin Mancha Gubak di talian 019-5958260 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Masrin Affirah



