


DITAHAN….Tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam Op Tapis di lokasi yang berbeza di Daerah Selangau kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Foto IPD Mukah
MUKAH: Tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam Op Tapis Khas di beberapa lokasi berasingan di Daerah Selangau semalam, selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, ketiga-tiga suspek yang berumur di antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah di sekitar laluan utama Daerah Selangau.
“Semasa pemeriksaan mendapati ketiga-ketiga suspek masing-masing memiliki satu tiub keratan straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine.
“Ujian saringan awal urin juga mendapati ketiga-ketiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi yang bermula 12.00 tengah hari hingga 4.00 petang itu, pasukan polis telah berjaya membuat rampasan dadah 1.19 gram dengan anggaran nilai RM300.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a)
Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama empat hari sehingga 17 November bagi melengkapkan siasatan.
IPD Mukah komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalah gunaan dadah di daerah Mukah dan Selangau.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh disalurkan melalui talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.