
KUCHING: Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 20an bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan menggunakan senjata yang berlaku di Jalan Song Thian Cheok pada 31 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada kira-kira 12.02 tengah malam.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis telah melancarkan operasi semalam kira-kira 2.45 pagi dan 10.15 pagi yang membawa kepada penahanan tiga suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20an.
“Semakan awal mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga FLX berwarna putih, tiga unit telefon bimbit terdiri daripada iPhone 11 Pro dan Samsung Galaxy A17 serta pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan kegiatan jenayah tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata permohonan reman terhadap kesemua suspek telah diluluskan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuching bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Alexson turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera serta memastikan pintu dan pagar sentiasa berkunci, khususnya pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.