
MIRI: Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel milik Telekom Malaysia di sebuah terowong berhampiran Tamu Muhibbah di Miri, awal pagi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat kira-kira 12.18 tengah malam 15 April lalu hasil serbuan oleh anggota polis bantuan bersama Unit Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 26 hingga 47 tahun itu diberkas bersama beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.
“Serbuan dilakukan susulan laporan daripada pihak Telekom Malaysia yang mengesan gangguan talian di kawasan tersebut sebelum mengarahkan rondaan dijalankan oleh polis bantuan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan serta rampasan beberapa barangan, termasuk satu unit kunci rantai, lampu suluh, gergaji besi, satu gulung wayar tembaga, dua potongan kabel fiber serta dua potongan kulit kabel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Paeng Lasa di talian 014-5750622 atau 085-435081, atau hadir ke balai polis berhampiran.
Mohd Farhan menegaskan polis memandang serius kes melibatkan kecurian harta awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri, merosakkan atau membeli harta awam curi sehingga menjejaskan kemudahan asas orang ramai.
Oleh Liong Chai Ling