BEKENU: Seramai tiga lagi individu berusia 21 tahun ke bawah memperoleh Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan Sarawak (DSITKS) daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).
Tiga penerima DSITKS tersebut adalah lelaki berusia 19, Lectio Divino Kon dan dua adik-beradik iaitu seorang lelaki, 12 dan perempuan, 9 iaitu Mohammad Shahzwan Abdullah dan Qistina Syazwani Abdullah.
Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus berkata, dokumen itu penting supaya mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan terutama kanak-kanak boleh mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Rosey berkata pengeluaran DSITKS adalah pelengkap kepada arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menggunakan resit permohonan kewarganegaraan menurut Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi kemasukan ke sekolah dan mendapat perkhidmatan kesihatan di klinik yang disediakan oleh kerajaan di Sarawak.
“Melalui DSITKS yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak, sekolah dan klinik awam mampu mendapat maklumat tentang pemegang dalam bentuk satu instrumen yang padat dan telah diluluskan oleh Jabatan Premier,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan DSITKS di Pejabat Daerah Subis, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan Pembantu Pegawai Tadbir Daerah Kecil Niah Fazly Juna serta ibu bapa penerima penerima dokumen sementara tersebut.
Menurut Rosey lagi, mereka yang layak memegang DSITKS adalah individu/kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak, dengan salah seorang daripada ibu bapa kandung mereka adalah warganegara Malaysia pemastautin Sarawak dan memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak serta berstatus warganegara yang belum ditentukan, sudah memohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 15A, Perlembagaan Malaysia dan berumur 21 tahun ke bawah.
Katanya, tempoh yang disasarkan bagi pengeluaran DSITKS adalah 37 hari bekerja, dengan tempoh sah laku pula adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan pengeluarannya.
“Satu daripada matlamat utama bagi pengeluaran DSITKS adalah agar kanak-kanak yang belum mempunyai status kewarganegaraan dapat diterima masuk ke institusi-institusi pendidikan awam di Sarawak tanpa memenuhi syarat memiliki pas pelajar kerana kanak-kanak tersebut tidak layak untuk dikeluarkan dengan pas pelajar mengikut tafsiran dan peraturan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak.
“Kumpulan kanak-kanak tersebut tidak layak untuk diberi pas pelajar memandangkan mereka tidak memiliki sebarang pasport antarabangsa atau pengiktirafan kewarganegaraan dari mana-mana negara lain setelah dilahirkan di Sarawak,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata DSITS adalah bertujuan khusus untuk memberi individu berkaitan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan awam di Sarawak.
“DSITKS bukanlah satu dokumen kewarganegaraan atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
Sementara itu pada 16 Mac lalu, Menteri KPWK Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara 1 November 2022 sehingga 10 Mac 2023, sebanyak 394 permohonan bagi DSITKS telah diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak 175 pemohon memenuhi syarat manakala 219 pemohon tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Katanya setakat ini, sebanyak 86 permohonan yang memenuhi syarat telah mendapat kelulusan Jabatan Premier Sarawak dan dikeluarkan dengan DSITKS pada 24 Februari 2023.
Daripada jumlah tersebut pula, beliau berkata sebanyak 13 penerima sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri Dalam Negeri pada 9 Mac 2023.
“Justeru, hanya 73 pemohon diserahkan dengan DSITKS bagi kumpulan yang pertama ini,” katanya.
Oleh Adum Liu