
SIMANGGANG: Seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan Puspakom Sri Aman, petang ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Fadhli, tiba di lokasi pada 1.31 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga BLM, Perodua Alza dan Proton Persona.

Seorang lelaki yang berada di bahagian penumpang Proton Saga didapati tersepit serta mengalami kecederaan, manakala mangsa daripada dua kenderaan lain berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum memberikan bantuan awal dan menstabilkan keadaannya.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Selepas operasi menyelamat selesai, pasukan bomba menjalankan kerja pembersihan jalan bagi memastikan laluan selamat digunakan oleh orang ramai.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 2.00 petang dan ditamatkan pada jam 2.30 petang. Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)
Turut berada di lokasi kejadian, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membantu menguruskan insiden berkenaan.
Oleh Adi Safarman