


SIBU: Tiga kawasan dikenal pasti sebagai lokasi kerap banjir di Kampung Jeriah menjadi tumpuan lawatan tapak yang diketuai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, semalam.
Menurutnya, tiga lokasi utama yang sering terjejas, ialah Jeriah Barat 4, Jeriah Barat 2A2 dan 2A4 serta Jeriah Utara 2A2.
“Selain itu, Jalan Kampung Jeriah turut diperiksa bagi tujuan pemeriksaan kerja-kerja pembersihan longkang yang sedang dilaksanakan setelah beberapa pokok ditebang atas faktor keselamatan.

“Di Lorong Jeriah Barat 5, masalah vegetasi yang menghalang aliran air turut dikenal pasti, dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sibu akan mengambil tindakan terhadap isu tersebut,” jelasnya.
Beliau memberitahu, lawatan ini melibatkan Kaunselor MPS (Wad M), Kr. Sami Sammy dan Kr. Cathy Lau dengan kerjasama antara Bahagian Kejuruteraan, Perparitan dan Kesihatan Awam MPS serta DID Sibu bagi menilai keadaan di lapangan dan memastikan langkah mitigasi yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Antara isu penting yang dibangkitkan ialah keperluan merelokasikan paip air di bawah seliaan Sarawak Water Sdn Bhd, bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan sistem perparitan dilakukan dengan lebih teratur, selamat dan efisien,” ujarnya.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan bahawa DID Bahagian Sibu akan mencadangkan penambahbaikan perparitan tambahan untuk Kampung Jeriah di bawah program Pasca Banjir tahun hadapan, tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
“Selain itu, beberapa jalan di Kampung Jeriah juga telah diluluskan di bawah BP1 untuk dilaksanakan pada 2026, iaitu peruntukan Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akan memperkukuhkan lagi infrastruktur jalan di kawasan tersebut,” kata beliau.
Oleh Akun Giman