Tiga kampung di Tebedu terima manfaat projek RTP bernilai RM550,000

Facebook
WhatsApp
DR. Simon Sinang Bada meninjau sendiri penyerahan tapak bagi projek-projek RTP yang telah siap dilaksanakan. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

TEBEDU, 8 Oktober: Tiga buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima manfaat projek infrastruktur di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM550,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata beliau meninjau sendiri penyerahan tapak bagi projek-projek RTP yang telah siap dilaksanakan melibatkan Kampung Tubih Mawang, Kampung Kuhom Mawang–Mandeg dan Kampung Sejijak Mawang, semalam.

Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Serian sebagai agensi pelaksana, dengan fokus memperkukuh kemudahan asas serta akses perhubungan penduduk di kawasan luar bandar.

Antara projek yang telah dilaksanakan ialah menaik taraf tembok penahan jenis gabion di Kampung Tubih Mawang dengan kos RM200,000.

Turut dilaksanakan ialah menaik taraf jalan pertanian Kampung Kuhom Mawang–Mandeg sepanjang 810 meter dengan peruntukan RM200,000, selain menaik taraf jalan pertanian Sungai Kubak, Kampung Sejijak Mawang sepanjang 500 meter yang melibatkan kos RM150,000.

PROJEK RTP yang telah siap dilaksanakan melibatkan Kampung Tubih Mawang, Kampung Kuhom Mawang–Mandeg dan Kampung Sejijak Mawang. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

Dr. Simon berkata, penambahbaikan infrastruktur tersebut diharap memberikan impak positif secara berterusan kepada penduduk setempat, khususnya dalam aspek kemudahan, keselamatan dan kelancaran perhubungan.

Beliau berkata, keadaan jalan pertanian yang lebih baik dan selamat juga dapat membantu memudahkan pergerakan penduduk serta pengangkutan hasil pertanian, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dalam kalangan komuniti setempat.

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk dan merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

Komitmen berterusan kerajaan Sarawak menerusi peruntukan RTP turut memperlihatkan usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur di kawasan DUN Tebedu supaya manfaat pembangunan dapat terus dirasai oleh masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman