Manchester United menewaskan Arsenal 3-2 sekali gus menghangatkan kembali saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Foto AFP
MANCHESTER (UK): Usaha Arsenal untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pertama mereka dalam tempoh 22 tahun tersekat selepas tewas mengejut 2-3 kepada Manchester United di Stadium Emirates, sekali gus membuka semula saingan kejuaraan buat Manchester City dan Aston Villa.
City dan Villa, yang masing-masing menewaskan Wolves dan Newcastle 2-0 hujung minggu ini, kini hanya ketinggalan empat mata di belakang Arsenal.
Kemenangan United itu turut melonjakkan mereka ke kelompok empat teratas dengan mengatasi Liverpool, selepas rekod tanpa kalah panjang juara bertahan itu berakhir dengan kekalahan di Bournemouth.
AFP Sports meneliti tiga perkara utama daripada aksi hujung minggu Liga Perdana Inggeris:
Magis Carrick ubah wajah Man United
Michael Carrick seolah-olah berdepan ujian getir apabila Manchester City dan Arsenal menjadi dua lawan pertama dalam tempoh awal pengurusannya.
Bekas pemain tengah United itu kembali ke Old Trafford untuk mengambil alih pasukan yang hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan sebelum ketibaannya.
Namun Carrick menghadiahkan dua kemenangan penuh bersejarah yang kini mencetuskan spekulasi sama ada pengendali berusia 44 tahun itu layak dikekalkan melebihi tempoh interim hingga akhir musim.
United pernah terperangkap dalam situasi sama sebelum ini apabila permulaan cemerlang Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus interim pada 2019 menghadiahkannya kontrak tiga tahun.
Carrick masih perlu membuktikan keupayaannya, namun permulaannya tidak mungkin lebih baik dalam misi membawa kembali bola sepak Liga Juara-Juara ke Old Trafford buat kali pertama dalam tempoh tiga musim.
“Saya menikmatinya. Ini satu kedudukan yang hebat,” kata Carrick.
“Kami tidak akan terlalu teruja dengan dua keputusan besar — fokus kami adalah apa yang seterusnya, kekal berpijak di bumi nyata dan melakukan perkara yang betul minggu ini.”
Masalah Liverpool terserlah akibat keletihan
Rentetan 13 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan membantu menstabilkan prestasi juara England itu, namun masalah sebenar yang berlarutan sepanjang tempoh itu terserlah dalam kekalahan di Bournemouth.

Buat kali ketiga musim ini, pasukan kendalian Arne Slot dibolosi gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus mencatat kekalahan liga ketujuh mereka musim ini.
Sudah pun bergelut dengan masalah pertahanan, Liverpool kehilangan seorang lagi pertahanan tengah apabila Joe Gomez terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, memaksa pemain tengah Wataru Endo beraksi sebagai pemain pertahanan.
Slot menyalahkan keletihan sebagai punca pasukannya gagal bertahan dalam 10 minit terakhir perlawanan selepas bangkit menyamakan kedudukan daripada ketinggalan 0-2.
Walaupun membelanjakan hampir £450 juta (AS$614 juta) pada jendela perpindahan musim panas, Liverpool kini kekurangan pemain di beberapa posisi utama.
Kecederaan jangka panjang yang menimpa Alexander Isak, Giovanni Leoni dan Conor Bradley meninggalkan Slot dengan pilihan yang terhad di bahagian pertahanan dan serangan.
Mohamed Salah disambut kembali dari Piala Negara-Negara Afrika dengan penuh kelegaan berikutan kekurangan kuasa serangan, walaupun pemain Mesir itu sebelum ini melontarkan kritikan terbuka terhadap Slot bulan lalu.
Pengendali dari Belanda itu berkata Jumaat lalu bahawa beliau tidak menjangka Liverpool akan menambah pemain baharu dalam baki tempoh jendela perpindahan.
Akibatnya, The Reds berdepan risiko besar untuk terlepas tiket Liga Juara-Juara musim depan.
Liverpool kini tanpa kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir dan jatuh ke tangga keenam, di belakang United dan Chelsea.
Pemecatan Frank cuma menunggu masa
Thomas Frank mungkin masih diberi peluang oleh lembaga pengarah Tottenham, namun pengendali dari Denmark itu semakin gagal memenangi hati penyokong yang sudah memberontak terhadap keputusan dan corak permainan pasukan, hanya tujuh bulan selepas dilantik.

Tandukan deras Cristian Romero menyelamatkan Spurs daripada satu lagi kekalahan memalukan serta menafikan Burnley kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris mereka sejak Oktober.
Namun keputusan seri 2-2 itu gagal meredakan rasa tidak puas hati penyokong pelawat yang sekali lagi mendesak bekas pengurus Brentford itu dipecat.
Tottenham hanya mencatat dua kemenangan dalam 14 perlawanan liga terakhir dan kini merudum ke tangga ke-14.
“Saya rasa mesej kepada penyokong, seperti yang saya katakan sebelum ini, ialah kami bekerja sangat keras untuk memastikan semuanya bergerak ke arah yang betul dan kami akan terus melakukan perkara itu,” kata Frank.
Namun begitu, tampaknya hanya menunggu masa sebelum beliau disingkirkan di utara London. – AFP