
DARO: Tiga individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro, hari ini.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, tangkapan dibuat dalam beberapa serbuan premis yang dilaksanakan sejak awal pagi tadi di Matu Daro.
Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 34 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Kesemua suspek telah ditahan dan kes disiasat bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Oleh Akun Giman