Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Tiga faktor menarik aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu
  • SUKAN

Tiga faktor menarik aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu

Utusan Sarawak 5 hours ago
MANCHESTER City menewaskan Liverpool 2-1 untuk merapatkan jurang dengan Arsenal kepada enam mata. Foto AFP

LIVERPOOL: Manchester City mengekalkan saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas melakukan kebangkitan dramatik pada lewat permainan untuk mencatat kemenangan jarang diperoleh di tempat lawan menentang Liverpool awal pagi tadi, sekali gus memastikan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal, kekal enam mata.

Kekalahan itu menjadi satu lagi tamparan hebat kepada peluang Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara apabila mereka terus ketinggalan di belakang Manchester United yang kembali bertenaga di bawah kendalian Michael Carrick.

Harapan Newcastle untuk menamatkan musim dalam kelompok lima teratas pula tampak semakin tipis selepas tewas 3-2 di laman sendiri kepada Brentford, melengkapkan minggu yang mengecewakan buat pasukan kendalian Eddie Howe.

AFP Sport menyorot tiga perkara utama daripada aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu:

City tamatkan sumpahan Anfield

Kapten City, Bernardo Silva berkata mereka sendiri percaya perebutan kejuaraan akan berakhir sekiranya tewas di Anfield.

Ketika City hampir menerima satu lagi kekalahan di laman Liverpool dengan hanya enam minit berbaki, Silva mencetuskan penamat perlawanan penuh kekecohan yang pastinya merisaukan penyokong Arsenal.

Gol penyamaan Silva disusuli sepakan penalti Erling Haaland pada masa kecederaan, membolehkan City menang di Anfield di hadapan penyokong buat kali pertama sejak 2003.

“Akhirnya kami menang di Anfield,” kata Pep Guardiola, yang sebelum ini hanya pernah meraih kemenangan di stadium itu ketika perlawanan tanpa penonton semasa sekatan pandemik koronavirus.

“Apa yang kami boleh lakukan hanyalah berani, kekal menekan Arsenal, dan jika mereka tersilap langkah, kami perlu mengambil peluang itu.”

Arsenal, yang menewaskan Sunderland 3-0 pada Sabtu, masih kekal sebagai pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan pertama mereka dalam tempoh 22 tahun.

Namun City kini berpeluang meningkatkan tekanan ke atas pendahulu liga dengan merapatkan jurang kepada tiga mata apabila melayan Fulham pada Rabu, 24 jam sebelum Arsenal berkunjung ke gelanggang Brentford yang sedang berada dalam prestasi terbaik.

ERLING Haaland memastikan kemenangan pertama Manchester City di Anfield di hadapan penyokong sejak 2003. Foto AFP

Kes Carrick sukar dipinggirkan

Manchester United pernah melalui situasi sama sebelum ini apabila bekas pemain lagenda berjaya mengubah nasib kelab dalam tempoh singkat sebagai pengurus interim.

Walaupun United berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan pelantikan Ole Gunnar Solskjaer pada 2019, pencalonan Carrick kini sukar diketepikan.

United mencatat empat kemenangan berturut-turut sejak bekas pengurus Middlesbrough itu mengambil alih tugas bulan lalu — satu pencapaian yang gagal dicapai Ruben Amorim sepanjang tempoh 14 bulan pemerintahannya yang mengecewakan.

Tottenham ditewaskan 2-0 di Old Trafford pada Sabtu, kekalahan pertama mereka dalam sembilan perlawanan menentang United.

“Carrick datang dengan idea yang tepat, memberi pemain tanggungjawab dan kebebasan di atas padang,” kata kapten United, Bruno Fernandes.

“Dia tahu apa ertinya kemenangan buat kelab ini. Ia memberi sesuatu yang istimewa kepada pasukan.”

‘Realiti pahit’ Newcastle buat Howe

Howe mengakui beliau perlu segera menghentikan kemerosotan prestasi yang membimbangkan sehingga menyebabkan Newcastle terperangkap di separuh bawah carta liga.

Hanya satu kemenangan daripada lapan perlawanan menyaksikan The Magpies tersingkir daripada saingan Piala Liga oleh City, gagal layak terus ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, serta jatuh ke tangga ke-12 liga.

“Ada satu realiti pahit buat saya,” kata Howe. “Saya rasa saya perlu bekerja dengan lebih baik, saya perlu melakukan lebih banyak perkara.

“Saya perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap segala yang berlaku di atas padang dan mencari penyelesaian.”

NEWSCASTLE kendalian Eddie Howe kini berada di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris. Foto AFP

Pengurus berusia 48 tahun itu kini berdepan banyak persoalan sama ada beliau telah mencapai had maksimum potensinya di Tyneside.

Walaupun disokong dana kekayaan berdaulat Arab Saudi, Newcastle terikat dengan peraturan kelestarian kewangan yang sering mengecewakan Howe kerana gagal memperkuatkan skuad dalam pasaran perpindahan.

Beliau pernah membawa Newcastle ke Liga Juara-Juara sebanyak dua kali dan menghadiahkan trofi domestik pertama kelab itu dalam tempoh 70 tahun sejak mengambil alih tugas lebih empat tahun lalu.

Namun, Howe kini disebut-sebut sebagai calon pengganti Thomas Tuchel sebagai pengurus England selepas Piala Dunia dan pastinya tidak mahu reputasinya tercalar akibat penamat musim yang hambar. – AFP

Continue Reading

Previous: Peningkatan Liverpool tidak diterjemah kepada keputusan, kata Slot

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.