
KUCHING: Sektor bekalan air Sarawak mencatat sejarah baharu apabila tiga entiti utama, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn. Bhd. (LAKU) digabungkan menjadi satu entiti tunggal dikenali sebagai Sarawak Water Sdn. Bhd. (SWSB).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Sri Julaihi Narawi, berkata Sarawak Water yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melalui SFS Incorporated diyakini memperkukuhkan pengurusan bekalan air negeri secara lebih efisien, mampan dan teratur.
“Penggabungan ini secara rasminya berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. Walaupun KWB dan SWB dibubarkan, operasi pembekalan air tetap berjalan seperti biasa manakala kakitangan ditawarkan untuk menyertai Sarawak Water,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Sarawak Water di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Julaihi menjelaskan, hasil sesi libat urus bersama kakitangan, seramai 97.12 peratus atau 1,214 orang daripada tiga entiti bersetuju menyertai Sarawak Water, manakala bakinya kekal berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri.
“Kebajikan mereka terjamin berdasarkan prinsip ‘Tiada siapa yang akan terjejas dari segi ekonomi’ dan ‘Setiap orang akan mempunyai tempat dalam organisasi baharu ini’,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan Sarawak Water telah membangunkan aplikasi Sarawak Water Mobile Apps bagi memudahkan pengguna memantau penggunaan air harian dan membuat pembayaran bil secara atas talian.
Aplikasi itu turut dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak pada majlis berkenaan.
Menyentuh pembangunan bekalan air negeri, Julaihi berkata liputan bekalan air di kawasan bandar kini melebihi 99 peratus, manakala kawasan luar bandar hanya sekitar 71 peratus dengan keseluruhan liputan dianggarkan pada tahap 85.6 peratus.

“Dengan pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, kita yakin liputan penuh bekalan air dapat dicapai menjelang 2030. Namun, kita memerlukan lebih RM20 bilion lagi untuk mencapai sasaran itu,” ujarnya.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Loji Rawatan Air Landeh, projek bekalan air Nyabau, Beluru, Samalaju, Trusan dan Lawas, selain Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk kawasan pedalaman.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak juga meluluskan peruntukan RM1.1 bilion bagi menaik taraf dan menggantikan paip lama sepanjang 2,740 kilometer yang sedang dilaksanakan secara berfasa selama lima tahun mulai 2024.
“Keseluruhannya, hampir RM6 bilion telah diluluskan sejak 2018 bagi pelaksanaan projek bekalan air di Sarawak, termasuk inisiatif loji rawatan air segera (Acute Water Treatment Plant) di kawasan berpotensi,” katanya.
Beliau yakin dengan pengalaman dan kemampuan warga Sarawak Water, entiti baharu itu akan menjadi organisasi yang efektif serta efisien dalam menjayakan visi Sarawak mencapai liputan penuh bekalan air terawat menjelang 2030.
Oleh Shikin Mahmud