Tiga edisi menanti, e-sukan Sarawak akhirnya pecah telur emas

Facebook
WhatsApp
SKUAD e-sukan Sarawak bergambar bersama barisan atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen selepas melakar sejarah meraih pingat emas pertama Sarawak dalam acara e-sukan di Pusat Konvensyen MPAJ pada Sukma XXII Selangor 2026 hari ini.

SELANGOR: Tiga edisi selepas e-sukan mula dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak akhirnya membuka akaun emas apabila skuad Bumi Kenyalang muncul juara acara e-racing sim (endurance) pada Sukma XXII Selangor 2026 hari ini.

Kejayaan itu dilakar dalam aksi final di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sekali gus menamatkan penantian panjang Sarawak untuk meraih emas sulung dalam arena e-sukan di pentas Sukma.

Presiden Persatuan Esports Sarawak, Afiq Fadhli Narawi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik bersejarah yang membuktikan kesungguhan semua pihak dalam membangunkan e-sukan di negeri itu akhirnya membuahkan hasil.

“Selepas tiga edisi Sukma memperlihatkan saingan e-sukan, akhirnya kami berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama.

“Saya amat bangga dengan para atlet, jurulatih dan pengurus pasukan yang kekal komited serta terus berusaha gigih walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan ini.

“Kerja keras, pengorbanan dan keyakinan mereka akhirnya merealisasikan kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Afiq Fadhli, emas berkenaan bukan sekadar kejayaan atlet yang bertanding, sebaliknya menjadi milik semua pihak yang selama ini berkorban dan memberikan sokongan terhadap pembangunan e-sukan Sarawak.

Katanya, kejayaan itu membuktikan Sarawak mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat tertinggi, selain mampu bangkit selepas beberapa edisi tanpa emas.

“Kemenangan ini bukan sahaja milik Sarawak, tetapi untuk semua pihak yang banyak berkorban dalam membangunkan sukan ini di Bumi Kenyalang.

“Ia membuktikan bahawa Sarawak mampu bersaing, bertahan dan bangkit sebagai juara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan atlet serta e-sukan di negeri itu.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadi pencetus penting kepada usaha Sarawak untuk terus memperkukuh pembangunan e-sukan dan melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa akan datang.

Oleh Shahrul Qaizat