
KUCHING: Polis berjaya menumpaskan tiga kegiatan pertaruhan haram bola sepak yang dikaitkan dengan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Kuching pada 18 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah melaksanakan operasi berkenaan dengan jayanya.
“Dalam operasi tersebut, polis telah menahan tiga wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing yang dipercayai bertindak sebagai ejen pertaruhan haram,” katanya hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, dokumen berkaitan pertaruhan, peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian serta wang tunai.


Alexson berkata hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah.
Siasatan awal mendapati kegiatan pertaruhan tersebut dijalankan melalui platform dalam talian yang dipercayai berkaitan dengan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
“Kesemua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Dua suspek warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua duanya sekali serta sebatan sehingga enam kali jika sabit kesalahan.
Alexson menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan perjudian haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh membawa pelbagai implikasi sosial kepada masyarakat.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram supaya menyalurkan maklumat kepada Pusat Gerakan IPD Kuching atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.
Oleh Connie Chieng