Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Tiga chef Sarawak guna bahan Borneo sapu tiga tempat teratas pertandingan kulinari di India
  • INSPIRASI

Tiga chef Sarawak guna bahan Borneo sapu tiga tempat teratas pertandingan kulinari di India

Utusan Sarawak 5 hours ago
TAHNIAH… Rakam kenangan (dari kiri) Chef Iana Akam (pingat perak), Chef Robbie Richard Balcarek (pingat emas), Chef Julian Lai dan Chef Annie Wee (pingat gangsa) pada Pertandingan Khadhya Khurak SuperChef di India baru-baru ini, selepas sidang media di Kuching hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Tiga chef Sarawak mencipta sejarah apabila menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan teratas dalam kategori Masakan Tanpa Api pada Pertandingan Khadhya Khurak SuperChef di India dengan menggunakan sepenuhnya bahan-bahan tempatan dari Borneo.

Chef Robbie Richard Balcarek dari Little Fairy Café merangkul pingat emas, diikuti Chef Iana Akam dari Fairy Tavern yang memenangi pingat perak, manakala Chef Annie Wee dari Annie Kolo Mee membawa pulang pingat gangsa dalam pertandingan yang diiktiraf sebagai antara yang terbesar dan paling berprestij di negara tersebut.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kejayaan itu mencerminkan keunggulan individu sekali gus kekuatan komuniti kulinari Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini adalah satu detik yang amat membanggakan buat Sarawak. Ia mencerminkan disiplin, kreativiti serta komitmen tinggi chef tempatan dalam mengangkat masakan negeri ini ke pentas dunia,” katanya selepas sidang media menyambut kepulangan barisan chef berkenaan hari ini.

Menurut beliau, kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila kesemua chef memilih untuk bertanding menggunakan bahan-bahan asli dari Borneo.

“Melalui olahan kreatif terhadap hasil dan ramuan tradisional tempatan, mereka berjaya menghasilkan hidangan yang bukan sahaja halus dari segi teknik, malah sarat dengan identiti Sarawak sehingga memikat juri antarabangsa,” katanya.

PENGERUSI Persatuan Kulinari Bersatu Malaysia Cawangan Sarawak, Chef Julian Lai yang dianugerahkan Anugerah ‘King Chef’ dalam Pertandingan Khadhya Khurak SuperChef di India baru-baru ini. Foto Adele Rissa

Beliau berkata pendekatan itu membuktikan bahawa warisan dan cita rasa Sarawak wajar diberi tempat di pentas masakan global, selari dengan status Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

Mengulas lanjut, Dato Wee berkata Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mahu melihat ekosistem makanan kreatif yang lebih luas, termasuk memanfaatkan masakan sebagai medium hubungan antarabangsa.

“Sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, kita perlu mengambil peluang ini untuk membina hubungan dua hala melalui makanan. Ia boleh menjadi teras kepada diplomasi kulinari atau gastrodiplomasi,” katanya.

Tambah beliau, bakat kulinari Sarawak kini semakin mendapat perhatian antarabangsa dengan jemputan diterima dari luar negara termasuk Macau dan Madinah, selain perkembangan ke pasaran Arab Saudi yang membuka potensi besar dalam pelancongan makanan.

Sementara itu, Chef Robbie Richard Balcarek menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kemenangan buat Sarawak dan komuniti Bidayuh, manakala Chef Iana Akam dan Chef Annie Wee menyatakan kebanggaan dapat membawa budaya serta identiti tempatan ke peringkat antarabangsa melalui makanan.

MBKS turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Persatuan Kulinari Bersatu Malaysia Cawangan Sarawak, Chef Julian Lai dari Little Hainan Restaurant yang dianugerahkan Anugerah ‘King Chef’ atas sumbangan sepanjang hayatnya dalam industri kulinari serta peranannya sebagai juri pertandingan tersebut.

Dato Wee berkata pencapaian ini bukan sahaja membanggakan individu terlibat, malah mengukuhkan kedudukan Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO serta menonjolkan masakan tempatan sebagai jambatan hubungan antara budaya dan negara.

Oleh Adele Rissa

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Dicky Ishak kembali bersinar di pentas SIFMA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.