
KANOWIT: Tiga individu berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Rumah Inyang, Batu 8, Sungai Ranan, di sini, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.03 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap kenderaan pacuan empat roda,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian, terdapat dua mangsa yang masih terperangkap di dalam kenderaan tersebut iaitu seorang perempuan berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.


KEDUA-DUA MANGSA…..Dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM.
“Seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan ringan, sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian,” ujarnya.
Operasi pemotongan dan pembersihan di lokasi tamat pada 10.22 malam.
Oleh Akun Giman