
SARATOK: Operasi Op Remove bagi mengurangkan populasi buaya di Batang Krian mencatat kejayaan apabila tiga ekor buaya berjaya ditangkap pada hari ketujuh operasi yang dilaksanakan secara bersepadu oleh beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, operasi berkenaan melibatkan empat anggota APM, lima anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta tujuh anggota Jabatan Sukarelawan (RELA).
Beliau berkata, operasi dimulakan dengan persediaan rapi melibatkan pemeriksaan kelengkapan, logistik serta taklimat keselamatan dan pembahagian tugasan di Pusat Operasi sebelum pasukan digerakkan ke lokasi pemantauan.

“Sekitar 8.10 pagi, pasukan operasi bergerak ke Sungai Awik dan Sungai Krian, sebelum dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memantau set umpan dan kail yang dipasang,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemantauan, satu kumpulan menemui seekor buaya di Sungai Krian dengan anggaran panjang 4.4 meter, manakala di Sungai Awik pula satu set umpan dan kail didapati telah disambar buaya sepanjang kira-kira 1.2 meter.
Kedua-dua buaya tersebut berjaya ditangkap dan dibawa ke Pusat Operasi untuk tindakan selanjutnya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan sekitar sungai berkenaan.

Operasi diteruskan pada sebelah petang dengan pemantauan di hilir Sungai Awik dan Kampung Kupang, sebelum pemasangan semula set umpan dan kail dilakukan di kawasan tersebut.
“Ketika pemantauan di Kampung Kupang, orang awam memaklumkan terdapat seekor buaya terjerat dalam pukat, dan buaya berkenaan berjaya ditangkap dengan selamat,” jelasnya.
Tambah beliau, operasi hari ketujuh ditamatkan tanpa sebarang insiden kecemasan, semua anggota berada dalam keadaan selamat dan kerja-kerja pemantauan serta pemasangan set umpan dan kail akan disambung pada keesokan hari.
Oleh Adi Safarman