
ekor buaya di kawasan Senadin di Miri malam tadi.
MIRI: Kebimbangan penduduk terhadap kehadiran buaya di kawasan Senadin di sini sedikit reda selepas tiga ekor reptilia itu berjaya ditangkap dalam satu operasi yang dijalankan pada waktu malam.
Tiga ekor buaya berkenaan dianggarkan masing-masing berukuran 3.96 meter, 2.13 meter dan 1.83 meter.
Operasi penangkapan itu dilakukan oleh Team Eric Cat dengan kerjasama serta sokongan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi menangani ancaman buaya dan memastikan keselamatan penduduk setempat.
Menurut Eric, penangkapan buaya terbesar yang dianggarkan sepanjang 3.96 meter bukan tugas mudah kerana saiz reptilia itu memerlukan pasukan terbabit mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang operasi.
“Sebanyak tiga ekor buaya berjaya ditangkap dengan anggaran panjang masing-masing 3.96 meter, 2.13 meter dan 1.83 meter.
“Buaya sepanjang 3.96 meter itu bukan bersaiz kecil. Operasi seperti ini memerlukan keberanian, kerjasama dan pengalaman, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SFC,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SFC atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam usaha menangani ancaman buaya serta membantu menjaga keselamatan masyarakat.
“Terima kasih kepada pihak SFC atas kerjasama dan sokongan dalam usaha menangani ancaman buaya serta membantu menjaga keselamatan masyarakat.
“Kami berharap usaha dan kerjasama semua pihak dapat terus memberikan perlindungan serta ketenangan kepada penduduk setempat,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling



