
LAWAS: Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran yang memusnahkan tiga blok rumah pekerja di kawasan projek pembinaan Hospital Lawas baharu, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Clarence D. Primus Tiandun, berkata sepasukan anggota dari BBP Lawas telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.49 tengah hari.

“Pasukan kami bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
Kebakaran melibatkan tiga blok rumah pekerja jenis struktur tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Kerja-kerja pemadaman sedang giat dijalankan bagi mengawal api daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tindakan pantas anggota bomba turut berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke beberapa blok rumah pekerja lain yang terletak berhampiran kawasan kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Adeng Edrus