Tiga beregu campuran lepasi halangan pertama di Terbuka Jepun 2025

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Tiga beregu campuran negara memulakan kempen di Terbuka Jepun 2025 dengan momentum kemenangan apabila melepasi halangan pertama di Gimnasium Metropolitan, Tokyo hari ini.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengambil masa 30 minit untuk mengetepikan lawan mereka dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-15, 21-10.

Pasangan keenam dunia itu akan berdepan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark pada pusingan kedua, esok.

Gandingan keempat dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga tidak mempunyai masalah melepasi halangan Kevin Lee-Josephine Wu dari Kanada dengan 21-15, 21-19 untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang terpaksa mengharungi pertarungan sengit sebelum menundukkan wakil Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gain 21-19, 12-21, 21-16.

Pang Ron-Su Yin berdepan halangan sukar di pusingan kedua apabila dijadual berdepan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Nasib berbeza buat gandingan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila tewas kepada Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun 9-21, 8-21. — Bernama