AKUN GIMAN
KAPIT: Dakwaan bahawa Kerajaan Sarawak bertindak zalim terhadap pemilik tanah adalah tidak tepat, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Sebaliknya, kata penyandang kerusi Parlimen Kapit itu, semua tanah yang diambil balik bagi tujuan pembangunan akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa.”
“Oleh itu, adalah tidak tepat sekiranya ada pihak yang menuduh kerajaan negeri bersifat zalim kepada pemilik tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan cek pampasan bagi projek pembinaan Kolej Professional Mara Kapit di sini, hari ini.
Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata setiap pengambilan tanah berhakmilik atau yang tertakluk tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dilakukan mengikut peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.
Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN pada majlis itu melibatkan enam kawasan iaitu kawasan Sungai Merukin, Nanga Mujong; Kawasan Rumah Anchi, Nanga Sepajie, Sungai Majau; kawasan Rumah Tungku, Sungai Sebila, Sungai Gaat; kawasan Sungai Setapang, Gaat; kawasan Sungai Puro/ Sungai Gaat; dan kawasan Nanga Sedugau, Sungai Gaat.
Seramai 18 pemilik tanah menerima cek pampasan tanah bagi projek pembinaam Kolej Profesional Mara Kapit yang berjumlah RM931,549.30 pada majlis itu.