

ROBAN: Tindakan seorang lelaki yang mengugut mahu menembak rakannya hanya kerana tidak puas hati disuluh dengan lampu suluh membawa kepada pembongkaran pemilikan senjata api haram serta penahanan dua individu di Roban, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian bermula apabila pengadu yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai mekanik dimaklumkan oleh seorang rakan bapanya ketika berada di sebuah rumah kebun durian di Roban bahawa suspek pertama mahu menembaknya menggunakan peluru jenis Buckshoot.
Bagi mendapatkan kepastian lanjut, anak buah pengadu telah menghubungi suspek pertama berusia 33 tahun itu, dan suspek mengakui dia bertindak sedemikian kerana berang wajahnya disuluh dengan lampu suluh oleh pengadu ketika berada di kebun durian pada waktu malam.
Pengadu yang sebelum ini pernah melihat suspek membawa senapang patah berasa bimbang akan keselamatan dirinya lalu bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Roban untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas maklumat, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok telah melancarkan operasi dan berjaya menahan suspek pertama bersama seorang lagi lelaki tempatan berusia 53 tahun yang merupakan suspek kedua di Roban. Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau turut mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2021, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas selaras senapang patah berukuran 90 sentimeter, selaras senapang guli buatan sendiri berukuran 98 sentimeter, serta 10 butir peluru senapang patah.
Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama mengaku membuat ugutan tersebut dan mendedahkan bahawa dia sering menggunakan senapang patah dan senapang guli milik bapa saudaranya iaitu suspek kedua.
Sementara itu, suspek kedua mengaku memiliki kesemua senjata api dan peluru tersebut, termasuk senapang patah yang diperoleh daripada seorang lelaki warga Indonesia yang telah pulang ke negara asal dua tahun lalu.
Hasil semakan lanjut mengesahkan bahawa suspek kedua tidak mempunyai sebarang lesen sah untuk memiliki senjata api mahupun peluru.
Kesemua suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.
Oleh Adi Safarman