KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak perlu berasa ragu untuk mengambil dos penggalak khususnya dos penggalak kedua bagi melindungi diri mereka daripada terdedah daripada bahaya jangkitan COVID-19.
Menurut pakar-pakar kesihatan, pengambilan dos penggalak sedia ada iaitu daripada jenis monovalen masih lagi relevan dan merupakan antara instrumen yang berkesan bagi mencegah penularan wabak itu terutama terhadap golongan yang berisiko.
Bagi Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Madya Dr Sharifah Faridah Syed Omar berkata dos penggalak masih mempunyai peranan, walaupun ia tidak dapat mengelak jangkitan sebaik dahulu.
“Apabila kita mengambil dos penggalak, antibodi badan akan meningkat walaupun bukan pada tahap yang kita kehendaki. Namun tidak dinafikan, ia (antibodi) juga akan turun dengan cepat, tetapi sekurang-kurangnya, dalam masa yang singkat itu ia mampu melindungi kita daripada terkena jangkitan.
“Jadi dos penggalak ini masih mampu memberi perlindungan selain dapat mengurangkan penularan yang terlalu cepat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyarankan orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama melebihi tempoh enam bulan, supaya mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.
Mengulas lanjut Dr Sharifah berkata masyarakat juga perlu memastikan sumber maklumat berkenaan dos penggalak diperoleh daripada sumber yang sahih terutama berkenaan kesan sampingan bagi mengelakkan kekeliruan dan seterusnya menimbulkan ketakutan dan kegusaran.
“Apa-apa rawatan atau ubat yang ada sekarang, semua ada kesan sampingan. Yang membezakannya sama ada kesan sampingan itu serius atau tidak serta berapa kerap kita mendapat kesan sampingan setelah mengambil sesuatu rawatan atau sesuatu ubat.
Berdasarkan data di laman web KKMNOW setakat 11.59 malam semalam, sejumlah 16,296,721 atau 49.9 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama dan hanya 757,464 atau 2.3 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua.
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Pediatrik Datuk Dr Amar Singh HSS berpendapat perbincangan mengenai keperluan dos penggalak COVID-19 sepatutnya mengambil kira keseimbangan risiko dan faedah kepada rakyat.
“Keputusan untuk mendapatkan penggalak patut mengambil kira beberapa isu seperti pendedahan risiko, sejauh mana perlindungan tempat kerja anda atau ketika berjumpa orang lain dalam masyarakat, umur, kondisi kesihatan dan sikap anda sebelum ini terhadap vaksin.
“Oleh itu keputusan untuk mendapatkan penggalak adalah pilihan individu. Jika anda sudah berumur, mempunyai risiko terdedah dan komorbiditi kesihatan, lebih baik mendapatkan (dos) penggalak,” katanya.
Senada dengan Dr Amar, Felo Akademi Sains Malaysia Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman mencadangkan agar mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan serius dan kematian supaya mengambil dos penggalak.
“Saya sendiri telah mengambil kedua-dua dos penggalak… dengan perubahan varian baru yang kelihatan mudah menjangkiti walaupun tidak mendatangkan gejala berat, dos penggalak amat perlu,” katanya. – Bernama.