SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu semalam menyenaraikan sektor perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Khusus Daerah Sibu, Selangau dan Kanowit bagi tempoh 22 hingga 26 April ini.
Pemangku Pengerusi JPBB Sibu, Wong Hee Sieng berkata, semua sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi dengan tertakluk kepada 50 peratus kapasiti pekerja dan waktu operasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam.
Menurutnya, sektor tersebut adalah perkhidmatan awam, perbankan, kewangan (termasuk pinjaman wang berlesen/pertukaran wang), utiliti (termasuk penyelenggaraan), pelabuhan, penerbangan, pengendalian kargo dan perkhidmatan pos.
“Steven pam minyak, pusat penyimpanan dan pembekal minyak/gas, perkhidmatan perubatan dan farmasi termasuk tabib Cina dan kedai-kedai herba, perkhidmatan pembentungan, telefon dan telekomunikasi (termasuk kedai membaiki telefon dan menjual kad tambah nilai).
“Perkhidmatan pengangkutan awam darat dan air (50 peratus kapasiti), pembekalan atau penjualan makanan/minuman, penyelenggaraan kenderaan, kapal dan perahu, pembekalan dan penjualan buku/alat tulis, perhotelan/penginapan, aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan juga disenaraikan dalam perkhidmatan perlu.
“Bagaimanapun, perkhidmatan kecemasan, utiliti, pembentungan dan penerbangan tidak tertakluk kepada waktu operasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam. Aktiviti ekonomi yang tidak disenaraikan adalah tidak dibenarkan,” jelasnya pada sidang media di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sibu hari ini.
Wong yang juga Pemangku Residen Bahagian Sibu memberitahu, semua sektor yang tersenarai dalam perkhidmatan perlu tidak perlu memohon permit dari pihak polis untuk beroperasi.
“Begitu juga pekerja tidak perlu memohon permit untuk turun bekerja selagi bergerak dalam daerah Sibu. Ini bagi memastikan orang ramai tidak berebut-rebut memohon permit di balai polis.
“Anda hanya perlu memohon permit jika melintasi daerah, sebagai contoh pergi ke Selangau, Kuching dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Tambahnya, Pasar Sentral Sibu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut, bagaimanapun hanya terhad kepada gerai-gerai yang menjual barangan perlu sahaja.
Beliau mewakili JPBB Sibu memohon maaf berikutan terdapat kekeliruan ramai tentang perkhidmatan perlu dan permit polis.
Katanya, JPBB Sibu telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dengan senarai perkhidmatan perlu khas untuk bahagian ini.
“Kita akan mengkaji senarai ini dari masa ke semasa bergantung kepada keadaan Covid-19. Untuk makluman semua, kita melaksanakan SOP tambahan ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di bahagian Sibu sejak beberapa minggu lalu,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit serta yang lain.
Sekiranya ada pertanyaan, sila hubungi Bilik Gerakan Covid-19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu di talian 013-9994158 dan 084-323224.
Oleh AKUN GIMAN