MOSCOW: Rusia sememangnya tidak mahu peperangan tercetus.
Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin selepas Barat mendakwa Moscow mengerahkan pasukan tentera dan peralatan ketenteraan ke sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk melancarkan kempen pencerobohan berskala besar ke atas Kiev.
“Adakah kami mahu perang berlaku? Sudah tentu tidak. Itulah sebabnya kami kemukakan cadangan untuk proses rundingan,” katanya pada sidang media susulan pertemuan bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Moscow.
Beliau bagaimanapun menegaskan Rusia tidak hanya akan ‘menutup mata’ terhadap perang retorik dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhubung tafsiran bebas mengenai prinsip keselamatan dengan menyatakan tiada negara harus mengukuhkan keselamatannya dengan mengorbankan yang lain.
Putin juga memaklumkan beliau sedia untuk terus bekerjasama dengan Barat berhubung isu keselamatan bagi meredakan ketegangan bersama Ukraine.
“Kami bersedia untuk kerjasama lebih lanjut dan kembali ke meja rundingan,” ujarnya lagi.
Difahamkan, pertemuan antara Scholz dan Putin berlangsung sehari selepas pemimpin tersebut berkunjung ke Kiev dan bertemu dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Terdahulu, Kremlin mengesahkan telah memanggil pulang sebahagian pasukan tentera mereka dari sempadan Ukraine, namun menegaskan Rusia akan mengerahkan tentera ke seluruh negara jika terdapat keperluan.
Sejak beberapa minggu lalu, Barat telah menzahirkan kebimbangan terhadap penempatan lebih 130,000 anggota tentera Rusia di kawasan sempadan Kiev hingga ia mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Moscow termasuk saluran paip, Nord Stream 2 yang menyalurkan bekalan gas ke Eropah dan disifatkan sebagai ‘senjata geopolitik’.
Ketika sidang media itu, Putin juga menyatakan Rusia bersedia untuk meneruskan bekalan gas melalui Ukraine walaupun selepas kontrak semasa tamat selepas 2024. – AFP