NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Rata-rata peniaga gerai Ramadan di kawasan Kampung Hilir, Jalan Masjid, Jalan Bandung dan Simpang Tiga di Sibu sudah mula memanfaatkan kemudahan teknologi dengan mempromosikan produk makanan dan minuman secara dalam talian.
Tinjuan semalam mendapati suasana sekitar kawasan kampung itu sedikit lengang dari kunjungan orang ramai berikutan arahan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melarang pembukaan bazar serta gerai di tepi jalan sepanjang Ramadan ini.
Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, pihak polis dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah turun menyantuni para peniaga sejak hari pertama puasa lagi dengan memberi nasihat supaya menggunakan aplikasi e-Bazar.
Bagi peniaga ikan, Ima, 27 dia akur dengan arahan itu dan mengambil keputusan untuk menutup sementara gerainya di tepi jalan dekat Simpang Tiga di sini.
Katanya, beliau akan menjalankan perniagaan dari rumah dan menggunakan media sosial untuk urusan jual beli barangan basahnya dalam talian.
“Saya menjual barangan basah seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain lagi. Saya juga sudah lama menjual di laman Facebook, jadi tidak kekok untuk saya berniaga atas talian sepenuhnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Lagipun kita perlu menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini, dan bersyukur kerana kita mempunyai platform atas talian yang membolehkan kita untuk terus berniaga,” katanya.
Peniaga ayam panggang, Nur Hasmah Ismail, 39, pula berkata dia juga sudah tidak membuka gerainya dan beroperasi atas talian sepenuhnya.
Katanya, dia hanya menerima tempahan atas talian dan penghantaran akan dibuat kepada pelanggannya.
“Pada awalnya kami risau punca pendapatan kami akan terjejas kerana dilarang membuka gerai sepanjang tempoh PKP.
“Tetapi, dengan adanya teknologi pada masa kini, semuanya sudah tidak menjadi masalah lagi,” katanya.
Sementara itu, pihak MPS dan polis akan meneruskan pemantauan di sekitar kawasan kampung bagi memastikan hanya penjualan dalam rumah melalui dalam talian atau e-bazar dibenarkan.
Para peniaga juga disarankan supaya berdaftar dengan Bazaar Ramadhan Online Sarawakku Sayang (BROSS) atau mana-mana perkhidmatan penghantaran.
Di samping itu, mereka juga dinasihatkan untuk memasang papan tanda dan tidak membenarkan orang ramai berkunjung ke gerai Ramadan untuk membeli juadah berbuka.