KOTA SAMARAHAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tetap akan diadakan sebelum tamat penggal pada Jun tahun depan.
Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil langkah berhati-hati dalam memilih masa yang sesuai untuk mengadakan PRN.
“Sekiranya tidak diadakan PRN selepas tamat penggal nanti, Kabinet Negeri akan terbubar dengan sendirinya dan PRN tetap akan diadakan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan 1963.
“Maka dengan itu PRN memang tidak boleh ditangguh lagi,” katanya ketika ditemui media di UiTM Kota Samarahan,semalam.
Wan Junaidi mengegaskan, Ketua Menteri mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Tuan Yang Terutama Yang di-pertua Negeri Sarawak berkenaan tarikh pembubaran Kerajaan Negeri.
“Ketua Menteri hanya mampu menasihat (tarikh yang sesuai), selebihnya tergantung dengan budi bicara TYT membuat keputusan,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai kesan penularan Covid-19 terhadap penangguhan PRN, beliau dengan lantang berkata PRN tetap dapat diadakan melainkan sekiranya diisyhtiharkan darurat.
Menurutnya lagi, kes penularan wabak Covid-19 di Sarawak belum memungkinkan Kerajaan Persekutuan bagi mengisytiharkan darurat ketika ini.
“Semuanya dalam keadaan terkawal dan boleh dikawal menjelang PRN nanti dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat daripada semua pihak,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, sejurus selepas pembubaran Kerajaan Negeri dibuat, segala arahan dan keputusan mengenai SOP adalah tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sekiranya SPR mengarahkan untuk tidak perlu mengadakan kempen, maka kita Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan berkempen.
“Kita akan patuh segala arahan dan SOP yang dikeluarkan SPR, kerana keselamatan rakyat adalah lebih penting,” tegasnya lagi.
Oleh Akmal Adib Yusup