SHEILA ZAIDI
KUCHING: Peruntukan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang diyakini tidak akan memberikan impak negatif jangka panjang ke atas ekonomi negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan yang memperuntukkan sebanyak RM1.154 bilion ini adalah hasil daripada polisi fiskal Sarawak yang berada di tahap yang baik.
“Peruntukan yang dikeluarkan untuk bantuan ini juga hanyalah untuk jangka masa pendek sahaja dan Sarawak sudah mempunyai pelan ekonomi tersendiri untuk 2030 yang akan diteruskan seperti biasa.
“Berhubung dengan peruntukan ini pula, kita akan mengambil pendekatan untuk memulihkan perbelanjaan dan system aliran tunai dalam negeri dan pada masa yang sama melabur kepada perkara-perkara strategik seperti pembinaan sekolah, projek bekalan elektrik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai impak pengeluaran peruntukan besar di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang ke atas ekonomi negeri semasa di temubual dalam rancangan Bicara Naratif oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam Ahad lalu.
Menurut Abang Johari, bantuan ini diumumkan adalah untuk memastikan daya beli rakyat Sarawak masih berjalan walaupun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seperti yang kita sedia maklum, pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah sememangnya terjejas semasa dalam tempoh PKP ini.
Oleh yang demikian, bantuan yang diberikan ini akan membolehkan mereka untuk membeli barang-barang keperluan asas seperi makanan, minuman, ubatan dan keperluan-keperluan penting lain.
“Dengan ini, pengisian semula dalam kitaran perbelanjaan masih berlaku seterusnya tidak menyebabkan kelumpuhan ekonomi kepada negeri kita.
“Dari sudut ekonomi juga, sekiranya berlaku kemelesetan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk tampil dengan pendekatan yang bersesuaian,” katanya.
Susulan dengan penambahan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac kepada 14 April, Abang Johari memberitahu bahawa beliau akan menilai semula bantuan ini nanti kerana sudah pasti nilai pendapatan yang terjejas semakin bertambah.
Penjaja kecil misalnya, tidak akan dapat menjalankan perniagaan mereka untuk tempoh lanjutan dua minggu lagi dan golongan seperti ini yang akan dititikberatkan, ujar Abang Johari.
Malah, katanya, kerajaan negeri juga akan membantu mereka yang tercicir daripada menerima bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatinn Rakyat (Prihatin) yang telah diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.
Abang Johari minggu lalu telah mengumumkan pakej bantuan khas yang merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan kesan penularan Covid-19 ke atas ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM1.154 bilion.