
KUCHING: Pelancaran Projek Perintis Tiang Pintar ESG menandakan satu langkah praktikal kerajaan Sarawak ke arah bandar pintar, sihat dan mampan, dengan memberi maklumat kualiti udara secara masa nyata kepada pengunjung taman awam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, inisiatif ini bukan sekadar penggunaan teknologi, sebaliknya satu pendekatan strategik yang menggabungkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk meningkatkan kesedaran awam serta kualiti hidup masyarakat.
“Bandar pintar sebenar bukan hanya diukur melalui teknologi canggih atau infrastruktur digital, tetapi melalui penggunaan data secara bijak untuk menyokong kesihatan awam, kelestarian persekitaran dan perancangan berasaskan bukti.

“Projek Tiang Pintar ESG ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)
yang menekankan pembangunan lestari, transformasi digital dan pembangunan berpusatkan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di Lobi MBKS, hari ini.
Beliau menegaskan projek perintis ini menunjukkan bagaimana teknologi dan data boleh diterjemahkan kepada tindakan praktikal yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Papan paparan digital pada Tiang Pintar membolehkan pengunjung melihat keadaan kualiti udara semasa dan membuat keputusan sama ada sesuai untuk berjalan, berjoging atau bersenam di luar,” jelasnya lanjut.
Beliau turut menambah bahawa projek ini menandakan perubahan penting dalam pengurusan kesihatan awam secara proaktif.
“Masyarakat kini diberi maklumat tepat pada masanya untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan mereka, berbanding hanya bertindak selepas masalah timbul,” kata beliau.
Melihat ke hadapan, Dr Sim berharap projek perintis ini menjadi pemangkin kepada pengembangan pemantauan pintar dan infrastruktur berasaskan ESG di seluruh Kuching dan Sarawak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada MBKS dan semua rakan kongsi yang terlibat dalam inisiatif ini. Semoga Tiang Pintar ESG meningkatkan kesedaran awam, menyokong komuniti lebih sihat dan menyumbang kepada pembangunan Kuching sebagai Bandar Pintar dan selesa mengikut rangka kerja PCDS 2030,” katanya.
Oleh Adele Rissa