SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang mahu kempen pemeriksaan kesihatan untuk ahli Persatuan Wartawan Sibu (SJA) dijadikan program tahunan sebagai usaha memastikan pengamal media sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Beliau berkata komitmen itu akan diteruskan bersama Pathlab Sibu bagi memberi peluang kepada pengamal media melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Objektif saya adalah untuk memastikan kita semua kekal sihat dan gembira. Hari ini kita memberi tumpuan kepada aspek kesihatan melalui pemeriksaan kesihatan yang saya taja khusus untuk rakan-rakan media,” katanya ketika ditemui pada Kempen Pemeriksaan Kesihatan SJA di Pathlab Sibu, hari ini.
Menurut Tiang, kesihatan merupakan perkara paling penting kerana tanpa kesihatan yang baik, seseorang tidak mampu menjalani kehidupan seharian mahupun melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
Katanya, pengamal media mempunyai komitmen besar dalam memastikan masyarakat menerima maklumat terkini, tepat dan telah disahkan, termasuk bekerja pada waktu malam dan awal pagi.

“Saya melihat sendiri komitmen rakan-rakan media yang bekerja setiap hari bagi memastikan masyarakat menerima laporan terkini yang tepat serta fakta yang telah disahkan.
“Peranan anda dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat amat kami hargai,” katanya.
Tiang berkata penjagaan kesihatan tidak seharusnya terhad kepada pemeriksaan perubatan semata-mata, sebaliknya setiap individu perlu mengambil tindakan proaktif untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri
Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya memberi perhatian kepada kesihatan fizikal dan mental, terutama dalam kehidupan moden yang penuh dengan tekanan.
“Kita tidak boleh sekadar bercakap tentang kepentingan kesihatan. Kita perlu mengambil tindakan. Hari ini, anda sudah melakukan pemeriksaan kesihatan dan yang penting ialah kita terus menjaga kesihatan selepas ini,” katanya.
Tiang menggesa pengamal media menjadi contoh kepada masyarakat dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kesejahteraan diri.
“Jangan cakap-cakap saja. Kita mesti letakkan perkara itu dalam tindakan. Jadi, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri,” katanya.
Oleh Tarani Lanting





