Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Tiang gesa Sistem Parkir Pintar SMC Cares ditambah baik segera
  • Tengah
  • WILAYAH

Tiang gesa Sistem Parkir Pintar SMC Cares ditambah baik segera

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Michael Tiang Ming Tee.

SIBU: Pelbagai penambahbaikan perlu dilaksanakan segera terhadap Sistem Parkir Pintar SMC Cares bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memudahkan rakyat dan bukan sebaliknya menjadi beban kepada pengguna.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, beliau menerima banyak komen dan aduan daripada orang ramai sejak beberapa hari lalu berhubung pelaksanaan sistem berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri telah meneliti maklum balas yang diterima dan mengemukakan isu tersebut kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bagi mendapatkan penjelasan serta memahami keadaan sebenar.

“Saya memahami kekecewaan yang dirasai oleh orang ramai dan amat menghargai setiap maklum balas yang diberikan.

“Tujuan pelaksanaan sistem parkir pintar adalah untuk menjadikan urusan parkir lebih cekap dan mudah. Namun, jika sistem ini menyusahkan rakyat, maka segala kebimbangan perlu dipandang serius dan ditambah baik tanpa berlengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memberitahu, antara aduan yang sering diterima ialah proses pendaftaran aplikasi yang rumit terutama bagi warga emas, aplikasi yang kurang mesra pengguna, masalah sistem yang perlahan, log keluar secara automatik serta kelewatan ketika pembayaran.

Selain itu, katanya, terdapat pengguna yang menerima kompaun ketika masih dalam proses membuat pembayaran, selain timbul rungutan bahawa pegawai penguatkuasa lebih menumpukan kepada pengeluaran kompaun berbanding membantu orang ramai.

Sehubungan itu, beliau meminta MPS dan penyedia sistem melaksanakan beberapa penambahbaikan segera termasuk memperkenalkan tempoh bertenang (grace period) yang munasabah sebelum kompaun dikeluarkan, menyelesaikan masalah teknikal aplikasi, memperkukuh khidmat bantuan kepada pengguna serta mengamalkan pendekatan penguatkuasaan yang lebih mesra.

Beliau turut mencadangkan agar warga emas dan pengguna kali pertama diberi tunjuk ajar terlebih dahulu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Tiang turut menggesa MPS menghasilkan video panduan yang mudah difahami serta memperjelaskan perbezaan zon parkir Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan bukan CBD bagi mengelakkan pengguna tersalah memilih zon dan dikenakan kompaun.

Menyentuh mengenai kompaun yang telah dikeluarkan, beliau berkata, MPS diminta menyemak semula kes yang melibatkan masalah teknikal sistem dan mempertimbangkan pengecualian jika terbukti ia berpunca daripada kelemahan sistem.

Beliau turut mencadangkan supaya MPS mengamalkan pendekatan ‘Pendidikan Didahulukan’ (Education First) sepanjang bulan pertama pelaksanaan sistem, tertakluk kepada dasar yang sedang dibincangkan.

“Jika sesuatu sistem masih belum benar-benar mesra pengguna, maka kita perlu terus menambahbaik sehingga ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya menjadi beban tambahan,” katanya.

Tiang berkata, beliau akan terus memantau pelaksanaan serta penambahbaikan Sistem Parkir Pintar SMC Cares dan menggalakkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklum balas bagi memastikan sistem tersebut dapat berfungsi dengan lebih berkesan demi kepentingan masyarakat.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Polis tingkatkan rondaan berkala di sekolah dan asrama pelajar di Bau
Next: 20 peserta berjaya menamatkan Pendidikan Literasi Fungsian Kemas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.