Tiang gesa Dana Prihatin Kanser disalur setiap tahun

Facebook
WhatsApp
SELAMAT MAJU JAYA....Tiang merakam kenangan bersama Lee Mee Lay (duduk, tiga kanan) yang mengangkat sumpah pengerusi baharu Sibu Life Care Society dan barisan jawatankuasa.

SIBU: Sibu Life Care Society disaran menjadikan Dana Prihatin Kanser sebagai bantuan tahunan, bukan sekadar disalurkan setiap dua tahun, bagi memastikan pesakit kanser terus mendapat sokongan masyarakat secara berterusan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata bantuan berkenaan amat bermakna kerana mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap pesakit kanser tanpa mengira kaum.

Menurutnya, bantuan berkenaan juga wajar disalurkan sebelum perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai supaya pesakit dapat menyambut perayaan dengan lebih ceria.

“Bantuan ini tidak mengira kaum. Selagi seseorang itu merupakan pesakit kanser, mereka boleh menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Sibu Life Care Society kali ke-28, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Penyampaian Dana Prihatin Kanser di sini, malam tadi.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, Kumpulan Prihatin Kanser Sibu Life Care Society ditubuhkan pada 2024 dan diketuai Hii Hong Wei hingga kini.

Menurutnya, sebanyak RM7,400 disalurkan kepada 32 pesakit kanser pada penyampaian pertama Dana Prihatin Kanser, manakala tahun ini RM9,000 disumbangkan kepada 30 penerima, masing-masing menerima RM300.

“Inisiatif berkenaan merupakan usaha kebajikan yang mulia dan bermakna, selain mencerminkan keprihatinan masyarakat Sibu terhadap pesakit kanser.

“Bantuan ini memberi sokongan moral kepada pesakit, selain menunjukkan bahawa mereka turut mendapat perhatian dan doa daripada masyarakat walaupun daripada individu yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau menyifatkan Dana Prihatin Kanser Sibu Life Care Society sebagai satu inisiatif unik dalam komuniti Sibu kerana menyediakan bantuan kewangan khusus kepada pesakit kanser.

Tiang turut menggesa persatuan lain di Sibu memperluaskan peranan jawatankuasa kebajikan dengan memberi perhatian lebih menyeluruh kepada kebajikan ahli.

“Bantuan wajar turut disalurkan kepada ahli yang menjalani dialisis, sakit, menghidap kanser atau dimasukkan ke hospital, selain membantu keluarga ahli yang telah meninggal dunia,” katanya.

Tiang turut merakamkan penghargaan kepada pesakit kanser yang terus tabah menghadapi cabaran penyakit berkenaan.

“Saya amat kagum dengan ketabahan anda. Selagi anda tidak berputus asa untuk terus hidup, harapan untuk masa depan akan sentiasa ada,” katanya.

Tiang turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan kesihatan atau menganggap usia muda sebagai alasan untuk tidak mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Menurutnya, kemajuan perubatan menjadikan kanser bukan lagi semestinya penyakit yang tidak boleh dirawat, malah ramai pesakit berjaya pulih dan meneruskan kehidupan.

Sehubungan itu, beliau menasihati pesakit supaya mendapatkan rawatan sewajarnya dan sentiasa mendengar nasihat doktor.

Tiang berkata Sibu Life Care Society sentiasa istimewa di hatinya kerana komitmen kebajikan yang ditunjukkan sepanjang 40 tahun penubuhannya.

Sebagai tanda sokongan, beliau komited menyumbang RM20,000 setahun kepada persatuan itu selagi menjadi wakil rakyat, dengan RM10,000 untuk kegunaan persatuan dan RM10,000 lagi bagi dana ambulans.

“Untuk tahun lalu dan tahun ini, jumlah keseluruhan yang telah saya sumbangkan ialah RM40,000,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa orang ramai terus menyokong usaha kebajikan Sibu Life Care Society demi membantu golongan yang memerlukan.

Oleh Akun Giman