


MIRI: Satu kejadian kebakaran membabitkan tiang elektrik akibat litar pintas telah dilaporkan berlaku di Lot 7746, Jalan Kampung Batu 1 10E, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.34 tengah hari dan enam anggota dikerah ke lokasi.
“Jentera tiba di lokasi pada 12.41 tengah hari dan operasi bermula seminit kemudian. Kebakaran melibatkan tiang elektrik berhampiran rumah pelapor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati kabel TM Unifi Fiber Optic yang berada di atas bumbung rumah pengadu berisiko dan tindakan segera telah diambil dengan memutuskan kabel tersebut bagi memastikan keselamatan.
Tambahnya, pihak SESCO turut hadir di lokasi bagi memastikan tiada lagi aliran elektrik pada kabel berkenaan sebelum operasi dikawal sepenuhnya pada 12.45 tengah hari.
“Setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.37 petang,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan operasi berjalan lancar dengan kerjasama pihak SESCO yang menempatkan dua petugas di lokasi.
Oleh Adum Liu