Tian A, Bawang A dinobat juara bersama pertandingan bola sepak Matu

Facebook
WhatsApp
JOHAN BERSAMA….dua pasukan yang dinobatkan sebagai juara.

MATU: Pasukan Tian A dan Bawang A dinobatkan sebagai juara bersama Pertandingan Bola Sepak yang diadakan di sini baru-baru ini.

Adalah difahamkan kedudukan itu diputuskan berikutan cuaca tidak mengizinkan untuk meneruskan perlawanan akhir di Padang Bola Sepak Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) 

Tempat ketiga bersama kejohanan ialah pasukan Kampung Loba Balu dan Jemose Football Club.

Pertandingan Bola Sepak Sebelas Sebelah (Lelaki) Tertutup Matu 2022 itu anjuran Saberkas Cawangan Jemoreng.

Pasukan lain di daerah ini yang menyertai pertandingan itu ialah Saberkas Jemoreng, Trenggo FC, Tian B, Bawang B dan Starlion

Menurut Setiausaha Saberkas Jemoreng,  Dayang Nurazimah Abang Ikhsan keputusan juara bersama itu dibuat berikutan perbincangan dan persetujuan kedua-dua pasukan.

“Dari segi mata kutipan ada sebuah pasukan yang lebih, namun memandangkan cuaca tidak mengizinkan untuk meneruskan perlawanan akhir, dan hasil perbincangan kedua-dua pasukan, mereka bersetuju untuk dinobatkan sebagai juara bersama,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Bagi pihak penganjur, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang turut menyumbang sebahagian dana untuk membolehkan mereka menganjurkan kejohanan itu.

Dayang Nurazimah yang menyampaikan hadiah kepada pemenang juga merakamkan terima kasih kepada semua yang terlibat  termasuk pihak MDMD yang membenarkan padang sebagai  lokasi pertandingan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad lalu.

Oleh Henry B Siyu

TERIMA KASIH…Dayang Nurazimah menyampaikan hadiah kepada juara bersama iaitu wakil pasukan Tian A dan Bawang A.
TERBAIK…merakamkan gambar bersama pemenang tempat ketiga