
SIBU: Program MTPN Prihatin Jalinan Kasih Aidilfitri Bersama Gelandangan anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak menjadi platform menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sambutan Hari Raya mengingatkan semua pihak bahawa walaupun berbeza latar belakang, setiap individu adalah sebahagian daripada satu keluarga besar.
“Aidilfitri adalah masa untuk kita bermaaf-maafan, bersyukur dan mengeratkan silaturahim. Ia juga mengingatkan kita bahawa walaupun berbeza latar belakang, kita semua adalah sebahagian daripada satu keluarga besar.
“Namun, bagi segelintir saudara kita yang menghadapi kesusahan, musim perayaan ini boleh menjadi waktu yang sunyi dan penuh cabaran,” ujarnya semasa berucap pada program tersebut yang berlangsung di Pusat Perlindungan Gelandangan Sibu (TTG), hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, sebaliknya mencerminkan nilai kemanusiaan, keprihatinan serta tanggungjawab bersama terhadap golongan memerlukan.
“Hari ini, kita bukan sekadar menyampaikan bantuan atau berkongsi juadah, sebaliknya mengembalikan maruah serta menyampaikan kasih sayang.
“Kita juga menghantar mesej yang jelas bahawa tiada siapa yang dilupakan dan tiada siapa yang akan dipinggirkan.
“Golongan yang sedang melalui kesusahan tidak keseorangan kerana masih ramai pihak yang prihatin serta komuniti yang sentiasa bersedia membantu,” ujarnya lagi.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan dan penganjur atas dedikasi serta keikhlasan dalam menjayakan program tersebut.
“Perubahan sebenar tidak semestinya bermula dengan dasar besar, tetapi melalui tindakan kecil yang penuh makna seperti menghulurkan bantuan, mendengar dan membantu mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Katanya, usaha membina masyarakat penyayang dan inklusif perlu diteruskan agar setiap individu tanpa mengira latar belakang dihormati serta diberi peluang untuk membina semula kehidupan mereka.
“Inilah semangat yang perlu kita teruskan, bukan sahaja pada musim perayaan tetapi setiap hari,” tambahnya.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Yang Dipertua MTPN Sarawak, Lucas Lau, Presiden TTG Sibu, Kapitan Tieng Mee Ann dan Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Bersatu Sibu, Datin Lily Toh.
Oleh Akun Giman