Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Tiada sempadan apabila wujud perhubungan
  • RENCANA

Tiada sempadan apabila wujud perhubungan

Utusan Sarawak 1 day ago
SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama para tetamu pada Majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak ,malam ini. Foto BERNAMA

HIDUP manusia sebenarnya bermula tanpa garis pemisah. Kita semua lahir ke dunia ini tanpa mengenal sempadan bangsa, harta, darjat atau kuasa.

Namun, apabila dunia berubah, kita mula mencipta tembok dan pagar. Muncul istilah “ini milik saya, itu milik kamu”. Lama-kelamaan, kita hidup dalam dunia yang membahagi, bukan menyatu.

Kini dunia moden menuntut kita kembali membuka hati dan fikiran. Teknologi menghapus jarak dan manusia kembali sedar bahawa sempadan itu boleh diruntuhkan melalui perhubungan.

Yang penting, bagaimana kita menggunakan kekuatan hubungan ini untuk membina diri, masyarakat dan umat tanpa menyimpang dari landasan Islam.

Dalam hal ini, penulis memaknai jawapannya seperti yang terkandung dalam akronim PERHUBUNGAN.

P – Pemikiran Yang Terbuka

Setiap hubungan bermula daripada pemikiran yang terbuka. Jika fikiran kita sempit, dunia juga akan kelihatan sempit.

Pemikiran terbuka mengajak kita berani mendengar pandangan yang berbeza, menghormati ilmu orang lain dan belajar daripada pengalaman baru.

Ia menjadikan kita lebih matang dalam berinteraksi dengan pelbagai latar belakang dan budaya.

Namun, keterbukaan bukan bermaksud menerima semua tanpa panduan. Islam memberi kita garis sempadan halal dan haram, benar dan batil.

Maka, keterbukaan yang sebenar ialah membuka fikiran tetapi tetap berpaut pada prinsip agama. Sepertimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, Dia akan menjadikannya faham tentang agama.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

E – Empati Menjadi Budaya

Empati ialah kemampuan memahami perasaan dan situasi orang lain. Ia menjadikan kita manusia yang halus hatinya, bukan hanya memandang diri sendiri.

Dalam dunia tanpa sempadan, empati menjadikan hubungan kita lebih bermakna kerana ia lahir dari hati yang memahami, bukan sekadar bersimpati. Apabila empati menjadi budaya, kita tidak lagi hidup bersaing, tetapi saling menguatkan.

Kejayaan orang lain bukan ancaman, tetapi inspirasi. Dari sinilah lahir masyarakat yang saling menyokong dan membina, bukan menjatuhkan.

R – Rangkaian Sosial Dan Profesional

Daripada empati, terbentuklah rangkaian. Hubungan yang dibina atas dasar kasih sayang dan kepercayaan akan membuka banyak pintu.

Dalam dunia moden, rangkaian sosial dan profesional adalah kekuatan utama.

Namun, dalam Islam, rangkaian itu disebut silaturahim. Ia bukan sekadar untuk manfaat dunia tetapi juga mendapat keberkatan akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat Bukhari & Muslim). Inilah bukti bahawa hubungan yang ikhlas kerana Allah sentiasa membawa keberkatan yang tidak ternilai.

H – Harapan Menyalakan Semangat

Dalam membina hubungan, jangan pernah hilang harapan. Dunia ini penuh cabaran dan harapanlah yang menyalakan semangat untuk terus berjalan.

Tanpa harapan, manusia cepat putus asa dan cepat menyerah. Harapan mengajar kita untuk terus percaya bahawa setiap kebaikan akan membuahkan hasil, walau pun lambat.

Harapan yang hidup menjadikan hati kita lembut dan jiwa kita kuat. Ia membuatkan kita terus berdoa dan berusaha kerana kita tahu bahawa Allah sentiasa membuka jalan bagi hamba-Nya yang yakin dan sabar.

U – Usaha Bukti Kesungguhan

Namun, harapan tanpa usaha hanyalah angan-angan. usaha ialah bukti kesungguhan. Dunia tanpa sempadan menuntut kita pantas, tekun dan berdisiplin.

Islam sendiri menegaskan bahawa manusia hanya akan memperoleh apa yang diusahakannya. Ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tiada bagi seseorang itu melainkan apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm: 39)

Setiap usaha, walau pun kecil, tetap bernilai di sisi Allah. Jangan takut bermula kecil kerana daripada langkah kecil itulah lahir kejayaan besar. Yang penting, teruskan usaha dengan niat yang ikhlas dan hati yang tabah.

B – Bertawakal Sesudah Berusaha

Sesudah berusaha, sandarkanlah segala hasil kepada Allah. Tawakal bukan bererti menyerah tetapi melepaskan beban kepada Yang Maha Kuasa setelah kita melakukan yang terbaik.

Inilah rahsia ketenangan sebenar di mana kita bekerja keras tetapi hati tetap tenang kerana yakin keputusan akhirnya di tangan Allah.

Apabila usaha disertai tawakal, hubungan kita dengan Allah (hablum minallah) akan menjadi kuat dan hubungan kita sesama manusia (hablum minannas) akan diberkati.

Itulah keseimbangan yang menjadikan hidup lebih tenang dan bermakna.

U – Ukhuwah Nadi Perhubungan

Ukhuwah adalah nadi perhubungan. Tanpa ukhuwah, hubungan mudah retak kerana kepentingan diri.

Ukhuwah Islamiyyah pula membawa makna kasih sayang kerana Allah bukan kerana pangkat, harta atau nama.

Dalam ukhuwah, kita gembira bila saudara kita gembira dan kita sedih bila mereka diuji. Inilah kasih yang menumbuhkan kekuatan umat.

Apabila ukhuwah dijaga, perbezaan menjadi rahmat. Kita boleh berbeza pandangan tetapi tetap bersatu tujuan untuk menuju reda Ilahi. Inilah keindahan perhubungan dalam Islam.

N – Nilai Adalah Panduan

Nilai adalah panduan kepada setiap langkah dan keputusan. Tanpa nilai, hubungan menjadi rapuh dan mudah tergoda oleh kuasa, harta atau nafsu.

Nilai Islam seperti jujur, ikhlas, sabar dan adil menjadi tembok yang menjaga hati kita agar tidak tersasar.

Apabila nilai dijadikan asas, hubungan menjadi tulen dan kukuh. Ia tidak dibina atas kepentingan, tetapi atas kebenaran. Nilai menjadikan kita dihormati, bukan ditakuti.

G – Gagah Untuk Bertahan

Untuk bertahan dalam dunia penuh cabaran, kita mesti gagah dan bukan semata gagah fizikal tetapi gagah dalam prinsip, iman dan hati.

Gagah dalam menahan marah, gagah dalam menolak fitnah, gagah dalam mempertahankan kebenaran walau sendirian.

Kegagahan sebenar tidak diukur dengan suara yang lantang, tetapi dengan hati yang tetap teguh ketika diuji.

Orang yang gagah ialah yang mampu menundukkan nafsunya dan terus melangkah dengan keyakinan bahawa Allah bersamanya.

A – Amanah Kunci Utama

Setiap Hubungan Amanah adalah kunci utama dalam setiap hubungan. Amanah pada janji, pada kata dan pada tanggungjawab.

Tanpa amanah, kepercayaan akan runtuh dan bila kepercayaan hilang, hubungan turut musnah. Amanah menjadikan kita manusia yang boleh diharap.

Dalam organisasi, amanah menjadikan pasukan kuat dalam keluarga, ia membawa kasih dalam masyarakat, ia menegakkan maruah. Maka, jagalah amanah walau sekecil apa pun.

N – Nur Cahaya Hidayah

Akhirnya, hubungan yang dibina dengan keikhlasan dan nilai Islam akan melahirkan nur cahaya. Cahaya hidayah, kebenaran dan keberkatan.

Nur ini akan menerangi hati kita, pekerjaan kita dan dunia di sekeliling kita. Apabila hubungan sesama manusia disinari nur Ilahi, ia akan membawa ketenangan dan keberkatan. Itulah tanda hubungan yang benar, bersih dan diberkati Allah.

Dunia hari ini tiada lagi sempadan. Dahulu kita membina pagar untuk melindungi, kini kita membuka pagar untuk berkembang.

Namun, dalam keterbukaan ini, jangan sampai kita hanyut. Binalah PERHUBUNGAN sebagai panduan kehidupan.

Dengan perhubungan yang berasaskan iman dan ihsan, kita bukan hanya mampu bertahan, tetapi juga mampu memimpin dunia dengan kasih dan kebenaran.

Wallahu alam Bissawab.

Continue Reading

Previous: Menjadikan ujian sebagai titik perubahan
Next: Keberadaan logam berat terkumpul dalam udang galah di sungai-sungai Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.