Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tiada sekolah ditutup akibat jangkitan influenza di Sarawak
  • SEMASA

Tiada sekolah ditutup akibat jangkitan influenza di Sarawak

Utusan Sarawak 14 hours ago
DATUK Dr. Annuar Rapa’ee ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Steps di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini. Foto UKAS

KOTA SAMARAHAN: Tiada sekolah di Sarawak yang ditutup akibat jangkitan influenza ketika ini, namun situasi di institusi pendidikan sedang dipantau dengan teliti oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, berkata walaupun terdapat peningkatan kes influenza di sekolah, keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan penutupan sekolah.

“Buat masa sekarang, tiada sekolah yang ditutup akibat wabak influenza.

“Akan tetapi, tidak mustahil ada jangkitan penyakit berkenaan terutamanya di sekolah.

“Tetapi, keadaan masih terkawal dan tidak menyebabkan kita untuk menutup sekolah, cuma dari segi pemantauan harus dipergiatkan untuk mencegah penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Steps di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Beliau menambah, semua sekolah telah diberi garis panduan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengawal serta menangani penularan influenza di peringkat sekolah.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Annuar turut mengesahkan bahawa pelaksanaan Penilaian Program Dwibahasa (DLP) yang berlangsung pada 15 dan 16 Oktober ini tidak terjejas akibat situasi Influenza.

“Setiap sekolah akan melaksanakan DLP. Cuma satu sekolah sahaja yang tidak mempunyai calon kerana tiada murid Tahun 6,” katanya.

Jelas beliau, peperiksaan DLP ini penting kerana ia menilai kemajuan pelaksanaan program berkenaan di Sarawak sepanjang enam tahun lalu serta mengenal pasti kelemahan sekolah dan subjek tertentu untuk penambahbaikan pada masa hadapan.

Keputusan peperiksaan dijangka diumumkan sebulan selepas tarikh peperiksaan, dan keputusan tersebut juga akan digunakan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk tiga subjek.

Selain itu, pelajar terbaik turut berpeluang ditawarkan kemasukan ke Yayasan Sarawak International School.

Seramai 26,000 murid daripada lebih 1,000 sekolah rendah di seluruh Sarawak akan menduduki peperiksaan DLP tersebut.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit serta tetamu yang lain. -UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat sempena Seminar Fatwa Peringkat Sarawak
Next: Abang Johari tarik peluang pelabur Singapura ke Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.