
GEORGE TOWN: Kementerian Kewangan menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sebarang cubaan penipuan berkaitan pemberian bantuan tunai RM100 secara sekali bayar menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bantuan berkenaan tidak memerlukan sebarang permohonan atau pendaftaran dan wang itu akan dikreditkan secara terus kepada semua pemegang MyKad berumur 18 tahun ke atas bermula pada 31 Ogos ini.
“Kami menerima banyak pertanyaan mengenai cara mendaftar tentang SARA RM100 itu, malah ada juga aduan mengenai pautan palsu dan mesej yang mendakwa rakyat perlu mendaftar segera untuk mendapatkan bantuan terbabit, ini semua tidak benar dan amat berbahaya serta jangan sesekali tekan pautan diberikan kerana ia adalah scam.
“Di sini, saya inginkan tekankan bahawa bantuan RM100 itu tidak perlu dimohon dan tidak perlu daftar kerana ia akan dikreditkan terus secara automatik melalui MyKad, jadi tidak perlu risau, semua individu yang berumur 18 tahun ke atas akan dapat, cuma (jika ada yang tidak terima) selepas 31 Ogos, maklumkan kepada kementerian (untuk tindakan seterusnya),” katanya.
Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Rujukan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Bengkel Teknik Menjawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Cina dan Pendidikan Moral Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama di bawah Kerajaan MADANI, termasuk pemberian RM100 secara sekali bayar kepada rakyat melalui program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya, dan subsidi harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Sementara itu, Lim berkata kerajaan juga bersedia mempertimbangkan supaya barangan basah seperti ayam, daging dan ikan turut disenaraikan di bawah program SARA, namun ia perlu diteliti terlebih dahulu termasuk mendapatkan pandangan semua pihak terutama penerima bantuan SARA dari semasa ke semasa.
“Kita tidak berhenti untuk dengar pandangan dan cadangan berhubung barangan yang disenaraikan dalam SARA, jadi memang ada (cadangan) tentang makanan basah seperti ikan, daging, ayam dan sebagainya, kita akan memantau dan meneliti serta jika sampai masanya kita rasa perlu dimasukkan, kita akan kembangkan (senarai barangan),” katanya.
Beliau berkata pada 1 Mei lepas, kerajaan memperluas pembelian SARA merangkumi barangan kebersihan kelengkapan rumah antaranya sabun pencuci pakaian, sabun pencuci lantai dan sabun pencuci pinggan mangkuk selain barangan makanan asas, ubat-ubatan, kelengkapan persekolahan dan barangan kebersihan diri.
Katanya, penambahan kategori barangan itu menjadikan 14 kategori barangan berbanding 13 kategori sebelum ini merangkumi 90,000 jenis barangan kesemuanya, hasil maklum balas yang diterima semasa pelaksanaan SARA pada awal tahun ini.– Bernama