
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan beliau tidak akan mengadakan rumah terbuka Hari Raya seperti kebiasaan pada tahun ini berikutan pemergian isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangsih Raya 2026 yang diadakan di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.
Menurut Abang Johari, sambutan Hari Raya kali ini akan diraikan secara sederhana bersama ahli keluarga terdekat.
“Tahun lalu Allahyarhamah ada di sini, tetapi tahun ini sudah tiada. Jadi saya ingin memohon maaf kerana tidak akan mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.
“Saya akan menyambutnya secara sederhana bersama anak-anak, Dato Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan serta pasangan mereka,” katanya.
Tambah beliau, ketiadaan Allahyarhamah membuatkan suasana sambutan Hari Raya kali ini terasa berbeza dan kurang bermakna.
Walaupun dalam suasana hiba, beliau tetap menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada rakyat Sarawak serta mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran berterusan buat negeri itu.
Terdahulu, beliau turut memohon maaf kepada rakan-rakan Cina kerana tidak dapat mengadakan sebarang kunjungan sempena Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani meninggal dunia pada 23 Jun 2025 di Pusat Perubatan Normah, di sini.
Allahyarhamah merupakan anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang.
Dalam pada itu, Abang Johari turut berkongsi kenangan mengenai minat Allahyarhamah terhadap hidangan mi kolok, yang akhirnya dimasukkan dalam menu bantuan program Sumbangsih Raya tahun ini.