KUCHING: “Tiada perjanjian bertulis. Ia lebih kepada persefahaman antara parti.”
Itu komen Naib Presiden PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai ‘mungkir janji’ kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ia sepatutnya mengikut persefahaman, sekiranya pilihan raya negeri yang lalu tidak bertanding, tindakan seperti ini sepatutnya diteruskan semasa PRU15.
“Ia lebih kepada persefahaman antara rakan dan parti. Jadi kalau nak cakap perjanjian bertulis memang tak ada. Itu yang saya tahu.
“Bagaimanapun, kita dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) masih berkawan tetapi ini (PRU15) melibatkan demokrasi dan sekiranya hendak bertanding di Sarawak, kita tetap terima walaupun dengan hati yang berat sikit,”katanya ketika ditemui selepas perasmian Pameran Sarawak di sini petang ini.
Karim berkata, keadaan seperti ini tidak menjejaskan hubungan baik antara GPS dan PN.
PN pimpinan Muhyiddin merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PN melalui BERSATU meletakkan tiga calon itu Datuk Ali Biju (Saratok), Jugah Muyang (Lubok Antu), kedua-duanya penyandang kerusi Parlimen berkenaan dan Duke Janteng di Parlimen Bintulu. Seorang lagi calon PH tetapi daripada PAS, Hamdan Sani bertanding di Batang Lupar.
Semalam, sebuah portal berita berpangkalan di Kuala Lumpur melaporkan penafian Muhyiddin ‘mungkir janji’ dan mendakwa hanya wujud persetujuan bahawa BERSATU tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, bukan pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen.
Untuk rekod, keabsahan Muhyddin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada Februari 2020 hanya menjadi kenyataan apabila 19 Ahli Parlimen GPS membuat pendirian menyokongnya, sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan minoriti.
Oleh AZREEN KERIA