KUALA SELANGOR: Tiada perbincangan dibuat untuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam mesyuarat Kabinet, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, pelaksanaan GST memerlukan perbincangan di peringkat Kabinet dan dibentangkan di sidang Parlimen terlebih dahulu.
“Apa-apa cukai baharu mesti diluluskan oleh Kabinet yang kemudian itu akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan, dan sebelum Parlimen dibubarkan baru-baru ini tidak ada kelulusan Kabinet pun mengenai GST,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keluarga Kemas Kuala Selangor di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab beberapa laporan mengenai dakwaan pemimpin Pakatan Harapan bahawa beliau akan mengembalikan semula GST selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 160 negara di dunia telah melaksanakan GST dan mengakui bahawa sistem percukaian itu adalah lebih efisien dan kurang ketirisan.
“Kita lihat kutipan cukai kita berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah paling rendah sekarang, lebih kurang 11 peratus dan itu agak rendah. Ini menunjukkan apa yang kita ada sekarang tidak efisien.
“(Namun) ini tidak bermakna, kita akan mengemukakan cukai baharu dalam masa terdekat, ia harus dibincangkan di peringkat Kabinet dan perlu melihat masa yang sesuai atau tidak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata untuk masa panjang, adalah penting untuk cukai yang dikenakan oleh kerajaan tidak membebankan rakyat dan dapat diguna untuk membangunkan negara.
GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus, cukai itu kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 September 2018.
Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah 5 peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6 peratus. – Bernama