BINTULU: Ketiadaan perarakan dan perhimpunan sempena sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini tidak mematahkan semangat masyarakat Islam di Bahagian Bintulu untuk terus menyemarakkan sambutan berkenaan menerusi Pertandingan Sepanduk Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M.
Pertandingan itu menghimpunkan kira-kira 61 sepanduk daripada kontinjen yang mengambil bahagian dalam enam kategori, sekali gus menjadi wadah bagi masyarakat setempat menzahirkan penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul menerusi kreativiti dan pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, berkata penganjuran pertandingan itu mencerminkan semangat masyarakat setempat yang tetap mahu menghidupkan sambutan Maulidur Rasul meskipun aktiviti luar tidak dapat dilaksanakan.
Menurutnya, keputusan untuk meneruskan pertandingan itu turut mengambil kira usaha, kreativiti serta perbelanjaan yang telah dicurahkan oleh setiap kontinjen dalam menghasilkan sepanduk masing-masing.

“Saya sangat kagum melihat semangat masyarakat di Bintulu. Walaupun tidak ada perarakan dan perhimpunan, masih ada keinginan untuk mengadakan pertandingan sepanduk.
“Jadi, saya bersama-sama jawatankuasa memutuskan supaya pertandingan ini diteruskan di Dewan Suarah Bintulu,” katanya ketika berucap pada pertandingan itu di sini, hari ini.
Abang Zainuddin berkata pertandingan berkenaan bukan sahaja membolehkan kemeriahan sambutan Maulidur Rasul diteruskan, malah memberi ruang kepada setiap kontinjen mengetengahkan kreativiti menerusi penghasilan sepanduk.
Menurutnya, penyertaan yang menggalakkan itu menunjukkan masyarakat terus memberikan sokongan terhadap program keagamaan walaupun bentuk sambutan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.


ANTARA sepanduk yang dipertandingkan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M di Dewan Suarah Bintulu.
Pertandingan Sepanduk Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M itu melibatkan enam kategori dengan kira-kira 61 sepanduk dipertandingkan.
Penganjuran berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk menzahirkan penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul SAW menerusi hasil kreativiti yang membawa mesej berkaitan nilai keagamaan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Oleh Carolyne Utih



