
MIRI: Penumpang penerbangan MASwings dari Miri ke Sibu terus berdepan ketidakpastian apabila dimaklumkan bahawa tiada penerbangan beroperasi hari ini, susulan pembatalan berulang kali sejak semalam.
Menurut penumpang, ada yang sekali lagi hadir ke lapangan terbang pagi tadi bagi mendapatkan kepastian lanjut, namun dimaklumkan bahawa tiada penerbangan tersedia dan pihak kaunter juga tidak dapat mengesahkan bila perkhidmatan akan kembali beroperasi secara normal.
Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penumpang yang mendakwa tanggungjawab seolah-olah diletakkan ke atas mereka untuk mendapatkan maklumat, susulan kekurangan penjelasan rasmi serta ketidakpastian jadual penerbangan.
Bagaimanapun, hasil semakan lanjut mendapati pegawai khidmat pelanggan MASwings memaklumkan bahawa penerbangan bagi esok (29 Disember) telah disahkan akan beroperasi.
Menurut pegawai berkenaan, pembatalan penerbangan sebelum ini adalah disebabkan oleh keperluan operasi.
Pegawai khidmat pelanggan itu turut memaklumkan bahawa penumpang terjejas ditawarkan dua pilihan pampasan, iaitu pertukaran penerbangan secara percuma dalam tempoh 30 hari dari tarikh tiket asal, atau bayaran balik penuh secara tunai.
Sebelum ini, penumpang meluahkan rasa kecewa susulan pembatalan berulang kali penerbangan Miri–Sibu yang dimaklumkan pada saat akhir, selain ketidakpastian sama ada penerbangan seterusnya akan beroperasi atau tidak.
Setakat ini, MASwings masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi bertulis berhubung gangguan operasi berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat