
MIRI: Sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Taman Bumiko di sini terbakar dalam satu kejadian yang berlaku, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.05 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat tiga bangunan berkenaan, dengan kira-kira 30 peratus ruang bilik musnah terbakar.
“Tiada sebarang kecederaan atau mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke bahagian lain dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.51 pagi.
Operasi turut mendapat bantuan daripada pasukan BBP Lopeng.
Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM.
Oleh Liong Chai Ling