
LIMBANG: Tiada sebarang laporan kecemasan, kerosakan struktur atau kecederaan orang awam diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Tujuh Limbang susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang dilaporkan berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah, tengah malam tadi.
Ketua Zon Tujuh Limbang, Penguasa Bomba Ramlan Marajan berkata gegaran turut dirasai di Limbang dan Lawas antara 12.00 tengah malam hingga 1.00 pagi.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada sebarang laporan kecemasan diterima setakat ini oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dan BBP Lawas.
“Pemantauan berterusan tetap dijalankan oleh pihak JBPM dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba turut membuat persiapan rapi sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk menghadapi kemungkinan berlakunya gegaran susulan.
“Anggota berada dalam keadaan siap siaga dan pemeriksaan awal boleh dijalankan terhadap bangunan berisiko seperti premis lama atau struktur yang mengalami keretakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa hebahan keselamatan kepada komuniti dilaksanakan bagi memastikan masyarakat kekal tenang serta segera melaporkan sebarang kerosakan melalui talian kecemasan 999 atau balai bomba berdekatan.
Sementara itu, BBP Lawas bersama agensi barisan hadapan bencana di daerah berkenaan juga tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, media melaporkan satu gempa bumi bermagnitud 6.8 berlaku pada 12.57 tengah malam di perairan Kota Kinabalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa berkenaan berpusat pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur.
Gegaran turut dirasai di sekitar Pantai Barat Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak.
Oleh Adeng Edrus